Selasa, 9 Ogos 2011

Kesibukan tidak halang TRW beramal

Kesibukan tidak halang TRW beramal

KOTA BHARU - Walau sibuk mengatur strategi bagi menghadapi kempen Piala Malaysia tidak lama lagi, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menjadikan alasan itu penghalang membuat kebajikan apabila meraikan anak yatim membeli-belah di sini, kelmarin.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, aktiviti Sukarelawan Kebajikan The Red Worriors (TRW) ini yang ketiga selepas agihan beras dan membaik pulih rumah di Parlimen Ketereh baru-baru ini.

“Kafa memperuntukkan perbelanjaan RM20,000 untuk perbelanjaan pakaian anak yatim hari ini, RM25,000 untuk bantuan beras diambil dari hadiah Piala Malaysia, 50 peratus kita bagi kepada pemain dalam bentuk bonus.

“Setiap pemain akan menerima bonus mengikut jumlah perlawanan yang mereka main, setiap pemain senior yang bermain maksimum 25 perlawanan, mereka akan dapat RM10,000 seorang, kita nak bagi lebih lagi pun boleh, tapi kita ambil sebahagian lagi dalam bentuk sumbangan kebajikan, sumbangan kepada tabung-tabung tertentu, bantuan kebajikan tanpa menjejaskan bonus mereka,” katanya ketika hadir pada Program Jom Kongsi Kasih Sayang bersama Sukarelawan Kebajikan The Red Worriors di Kb Mall.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Komuniti JKM Malaysia, Noraidah Mohd Zain, Pengarah JKM Kelantan, Mohd Noor Chik dan Pengurus Cawangan KB Mall, Chan Chin Kheong@Steven.

Menurutnya, setiap pemain disertakan empat anak yatim, iaitu tiga dari JKM dan seorang dari Parlimen Ketereh.

“Selain itu mereka diberikan RM600 dan akan membeli belah bersama empat anak yatim berkenaan dengan peruntukan RM150 seorang,” katanya.

Annuar berkata, Kafa menggalakkan pemain mengisi waktu lapang mereka dengan kerja amal yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat dalam aspek kebajikan, dan kecaknaan.

“Selepas Aidilfitri, mereka akan bergotong-royong membersih pantai.

“TRW dibina dengan sokongan peminat, jadi kita harap pemain menjadi tauladan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan digunakan adalah terbaik dalam mendidik pemain seterusnya menerapkan nilai positif dalam masyarakat.

“Pemain mesti dilatih menganggap tugas mereka bukan hanya beraksi di padang, malah sebagai contoh baik kepada masyarakat seterusnya membantu mereka mendisiplinkan diri agar mampu pergi lebih jauh dalam arena ini.

Sementara itu, Steven berkata, pasaraya berkenaan memberikan diskaun 10 peratus bagi setiap barangan yang ditawarkan diskaun.

“Jika barangan dibeli mempunyai diskaun 50 peratus, KB Mall memberi tambahan 10 peratus diskaun lagi, mereka menikmati harga lebih rendah berbanding pengunjung lain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Khairul Fahmi terima rumah Oktober ini